Isu Palestin: Kamu salah pilih orang – tegas PM
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak akan berganjak daripada memperjuangkan isu Palestin meskipun menerima banyak tekanan dan ugutan daripada pelbagai pihak.
Perdana Menteri menegaskan, sebagai sebuah negara yang merdeka, Malaysia berhak menentukan pendirian tanpa berasa takut dan bimbang.
“Ini saya tekankan, saya terima banyak teguran dan ugutan. Saya kata kamu salah pilih orang.
“Saya tegaskan Malaysia negara bebas dan merdeka dan akan kekal negara berdaulat dan akan terus perjuangkan negara Palestin. Palestin merdeka,” katanya ketika berucap dalam Himp.unan Malaysia Bersama Palestin di Axiata Arena malam ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata, selagi beliau sebagai Perdana Menteri, isu Palestin akan terus diperjuangkan.
Pada masa sama, Anwar juga melahirkan kebimbangan mengenai keadaan semasa di Gaza yang terus menerus diserang dan menerima sokongan Amerika Syarikat dan negara barat lain.
“Masa depan bagi mereka sangat malap, kemungkinan tentera Israel tetap ceroboh ke Gaza. Kita sebagai orang Islam yakin dengan pertolongan Allah tapi kena ingat dan terima kenyataan keadaan sekarang yang akan lebih parah bagi rakyat Gaza kerana keangkuhan dan kezaliman Israel yang didokongi negara barat.
“Keadaan sangat getir dalam beberapa minggu ini. Kematian lebih ramai, bayi akan habis di tangan ganas Israel. Tentera AS, Inggeris dan Perancis bersedia bagi laluan mudah bagi Israel. Ini yang saya nyatakan ke tahap gila. Kegilaan sehingga benarkan orang dibunuh dan hospital dibom. Ini merupakan sikap tidak bertamadun,” tegasnya.
Sementara itu, Anwar turut berkongsi pertemuannya dengan pemimpin-pemimpin Negara Kerjasama Teluk (GCC) dan negara-negara Islam bagi membahaskan isu Gaza.
Anwar menegaskan, dunia Islam perlu bangkit memperjuangkan Palestin dan jangan dilihat lesu.
“Saya nyatakan pada Presiden Mesir, Malaysia ambil keputusan beri sokongan kepada Mesir untuk beri laluan kepada negara mana saja, sama ada Turkiye, Arab Saudi, Qatar, UAE dan Malaysia sendiri untuk hantar dengan kapal terbang, kapal atau apa saja dengan Mesir akan terima dan mengiringi barang itu masuk ke Gaza,” katanya.