Berita Semasa

Berhenti keluarkan kenyataan keruhkan suasana, sentuh sensitiviti – Speaker Dewan Rakyat

Johari tegur Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul hari ini menegur semua wakil rakyat supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang mengeruhkan suasana, menyentuh sensitiviti keharmonian dan bersifat saling melabel.

Beliau mengingatkan, Ahli Parlimen supaya berhenti menggunakan perkataan ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘yahudi’ bagi merujuk mana-mana Ahli Parlimen sepanjang perbahasan di Dewan Rakyat.

Tegasnya, Ahli Parlimen perlu menjadikan kepentingan negara sebagai matlamat utama dan tidak menggunakan Dewan Rakyat sebagai medan politik kumpulan atau individu, selain menunjukkan kelakuan terpuji semasa mengetengahkan isu.

Justeru, beliau tidak akan bertolak ansur dan akan mengambil tindakan sekiranya isu dan perkataan dimaksudkan itu dibangkitkan lagi pada masa hadapan.

“Saya menyeru semua menghentikan isu dan penyataan ‘kafir’, ‘zionis’, ‘yahudi’ dan lain-lain perkataan sama maksudnya antara ahli Yang Berhormat yang mengeruhkan suasana serta menyentuh sensitiviti keharmonian, apatah lagi ketika ini suasana sangat tidak kondusif.

“Pada hari ini, saya mengajak ahli Yang Berhormat membuka lembaran baharu.

“Padamkanlah isu panas yang berlaku pada minggu lalu. Biarkanlah perbahasan ahli Yang Berhormat berlandaskan isu demi membela nasib rakyat di luar sana,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Show More

Related Articles

Back to top button