Ahmad Said dilantik Pengarah Jentera BN bagi PRK Kemaman
KUALA LUMPUR – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dilantik sebagai Pengarah Jentera Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, Terengganu yang akan berlangsung Disember depan.
Menurut Setiausaha Agung, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pelantikan bekas menteri besar Terengganu itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi yang dipengerusikan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, malam tadi.
“Bagaimanapun, nama calon yang bakal mewakili BN akan diumumkan kemudian,” katanya pada sidang akhbar di Menara Dato Onn, di sini malam tadi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Parlimen Kemaman pada 2 Disember depan manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 18 November dan 28 November.
PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lalu yang membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Sementara itu, Asyraf turut mengumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dilantik mengetuai Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) dengan menggembleng semua peringkat kepimpinan UMNO di seluruh negara.
Katanya, penganjuran kolokium berkenaan bertujuan mendukung penganjuran KEB pada Januari tahun depan yang menjadi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.