Doktor kongsi pengalaman cemas wanita beranak dalam lori di lebuhraya
KUALA LUMPUR – Seorang doktor lelaki berhadapan pengalaman mencemaskan dan tidak dapat dilupakan apabila menerima panggilan telefon melibatkan seorang wanita bersalin di dalam sebuah lori besar.
Doktor itu yang dikenali sebagai Dr Aliff Zaki berkongsi pengalamannya itu menerusi ciapan yang dimuat naik di laman X (Twitter @alepzaki).
“Dapat panggilan ada kes nak bersalin dalam lori, lokasi Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) kilometer (KM) 121 hala ke Kuantan. Maklumat pasal ibu minimum. Sepanjang persiapan di klinik, 2 hingga 3 kali senarai semak barang-barang kerana expect the worst.
“Dalam ambulans masing-masing berteka teki apakah keadaan ibu? Dah bersalin ke belum?kalau dah, keadaan baby macam mana?
“Sampai di lokasi, kelihatan 2 pegawai polis trafik jaga lalu lintas, pintu lori terbuka luas. Nampak dirumput pakaian yang berlumuran darah dan najis. Bau tu memang tak disangkal kepekatannya. Tanya pasangan, “mana si ibu?”. “Ada dalam lori, di tempat duduk belakang” jawabnya,” ciapnya.
Tanpa berlengah katanya, dia terus memanjat lori itu dan melihat si ibu dan bayinya yang berada di celah kangkang.
“Si ibu pejam mata, dan ada jasad kecil di celah kangkang. Hati dah berdebar.
“Aku tegur si ibu, “puan, boleh dengar saya cakap? Buka mata boleh”. Si ibu buka mata dan sahut “ye dengar”. Hati lega.
“Mata beralih ke si anak pula, nampak tak bergerak. Alamak. Aku pegang kaki bayi, jentik tapak kaki, keluar suara kecil menangis. Hati kembali lega, peluh jantan tak jadi keluar.
“Aku teruskan prosedur potong tali pusat dan lain-lain. Bayi aku bungkuskan dengan kain tuala dan bawa keluar dari lori. Pesakit diambil alih oleh senior nurse Sue. Mencuci darah, periksa tahap koyak dan membersihkan ibu setakat boleh,” katanya.
Dr Aliff berkata, ibu dan bayi itu kemudiannya ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSHAS) untuk rawatan selanjutnya.
Sementara itu, Dr Aliff turut merakamkan
ucapan terima kasih kepada pihak LPT, polis trafik dan kakitangan bilik bersalin HoSHAS kerana memudahkan urusan.