Jenayah & Mahkamah

Polis tahan lelaki samun remaja dalam lif

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas melakukan samun ke atas seorang remaja di dalam lif sebuah pangsapuri di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata suspek ditahan di pangsapuri sama kira-kira jam 11 pagi semalam.

Katanya, penahanan lelaki berusia 43 tahun itu dibuat selepas mangsa yang berusia 14 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku Ahad lalu, jam 5.25 petang.

“Bertindak atas maklumat, Ketua Balai bersama anggota Unit Peronda Sektor (URS) Balai Polis Majidee membuat serbuan di sebuah pangsapuri di daerah ini, dan menahan suspek lelaki dalam kejadian ini.

“Polis turut merampas telefon bimbit, sehelai seluar dan sepasang kasut.

“Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai empat kes jenayah dan tiga kes dadah. Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Semalam, tular video berdurasi 32 saat yang memaparkan seorang remaja lelaki berdepan detik cemas apabila disamun seorang individu bertopi keledar ketika berada dalam sebuah lif kediaman pangsapuri di sini.

Show More

Related Articles

Back to top button