Luar Negara

Majlis Keselamatan PBB tidak luluskan resolusi gencatan senjata kemanusiaan di Gaza

NEW YORK – Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak meluluskan resolusi Rusia bagi menggesa gencatan senjata kemanusiaan di Semenanjung Gaza, pada Isnin.

Draf resolusi itu menerima lima undi menyokong dan empat undi menentang, bersama enam undi berkecuali.

Resolusi memerlukan sekurang-kurangnya sembilan undi menyokong dan tiada veto oleh lima anggota tetap – Amerika Syarikat (AS), Russia, China, Perancis dan Britain – untuk lulus.

“Hari ini, seluruh dunia menunggu dengan sabar untuk Majlis Keselamatan mengambil langkah menamatkan pertumpahan darah, tetapi delegasi negara-negara Barat pada dasarnya gagal menepati jangkaan itu,” kata Duta Besar Russia ke PBB, Vassily Nebenzia, memberitahu majlis selepas pengundian.

Russia mencadangkan teks satu halaman pada Jumaat, yang turut menggesa pembebasan tebusan, akses bantuan kemanusiaan, dan pemindahan selamat orang awam yang memerlukan.

Teks itu mengutuk keganasan terhadap orang awam dan semua tindakan keganasan tetapi tidak menamakan Hamas.

“Dengan gagal mengutuk Hamas, Russia memberi perlindungan kepada kumpulan pengganas yang menganiaya orang awam yang tidak bersalah. Ia adalah keterlaluan. Ia hipokrit dan ia tidak boleh dipertahankan,” kata Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield.

Thomas-Greenfield berkata, AS yang secara tradisinya melindungi sekutunya Israel daripada tindakan majlis, “bersetuju bahawa majlis ini harus mengambil tindakan, tetapi kita perlu memperbaikinya dan kita akan bekerja secara intensif dengan semua ahli dalam majlis untuk berbuat demikian.”

Undian mengenai resolusi digubal Brazil yang mengutuk serangan Hamas, ditangguhkan sehingga lewat hari ini bagi memberi lebih banyak masa kepada majlis untuk berunding.

Show More

Related Articles

Back to top button