Kumpulan pertama MALBATT 850-11 selamat tiba ke tanah air
KUALA LUMPUR – Kumpulan pertama yang dianggotai enam pegawai dan 200 anggota kumpulan pertama Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 selamat tiba di tanah air selepas setahun berkhidmat di bawah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) UNIFIL di Lubnan.
Kumpulan pertama yang diketuai Ketua Pergerakan, Komander Errudin Bujang dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tiba dengan menaiki pesawat komersil Batik Air di Pangkalan Udara Subang pada pukul 10.10 pagi tadi.
Ketibaan kumpulan pertama MALBATT 850-11 itu disambut oleh Asisten Ketua Staf J3, Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Tong Veng Leong (TUDM).
Veng Leong dalam ucapannya berkata, penugasan kumpulan MALBATT 850-11 itu amat mencabar ekoran konflik antara Israel-Palestin yang telah merebak ke selatan Lubnan.
“Saya ucapkan selamat kembali ke tanah air, tahniah dan syabas kerana telah berjaya melaksanakan misi UNIFIL di bawah panji-panji PBB dengan jayanya.
“Pengalaman tuan-tuan dan puan-puan yang sering berdepan dengan keadaan getir peperangan dapat dijadikan pengalaman berharga untuk dikenang sepanjang hayat.
“Ianya juga menjadi pencetus semangat kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rakyat Malaysia agar terus mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara Malaysia agar keamanan dan kemakmuran dikecapi ini terus dihargai,” katanya dalam kenyataan hari ini di Facebook Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.
Kontinjen MALBATT 850-11 yang diketuai Kolonel Burhan Sagoni dengan kekuatan seramai 854 anggota itu turut disertai 3 pegawai dan 27 anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.