Jenayah & Mahkamah

Liputan komunikasi Kampung Sungkup terjejas akibat kecurian kabel – MCMC

CYBERJAYA – Hampir 600 penduduk Kampung Sungkup, Kedah, berhadapan dengan masalah liputan telekomunikasi selepas menara yang disediakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berhampiran kampung mereka diceroboh.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan kejadian tersebut, satu laporan polis telah dibuat untuk tindakan lanjut.

“Kejadian tersebut telah dilaporkan oleh penduduk kampung kepada Pejabat MCMC Negeri Kedah pada Ahad, 15 Oktober apabila mendapati terdapat kesan vandalisme termasuk kabel dipotong dan peralatan dicuri.

“MCMC ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memulihkan kembali perkhidmatan telekomunikasi di sekitar Kampung Sungkup.

Menurut MCMC lagi, menara telekomunikasi tersebut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile melalui kaedah perkongsian 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).

Menara yang disediakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diceroboh.

Katanya, perbuatan khianat yang dilakukan itu telah menyebabkan perkhidmatan kesemua rangkaian tersebut tidak dapat beroperasi.

Sehubungan dengan itu, orang awam dimohon untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat atau melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran tapak infrastruktur telekomunikasi.

“Perbuatan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.

MCMC pada masa sama akan turut meningkatkan kerjasama dengan penduduk, pihak polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mencegah sebarang cubaan menceroboh menara telekomunikasi.

Show More

Related Articles

Back to top button