Berita Semasa

2 pekerja gerai burger maut akibat terkena renjatan elektrik

IPOH – Dua lelaki maut akibat dipercayai terkena renjatan elektrik ketika sedang berkerja di sebuah gerai burger di Taman Bercham Raya, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan, mangsa yang berusia 30 dan 14 tahun itu pekerja gerai berkenaan.

Katanya, anggota dari Balai Polis Tambun menerima maklumat dari orang awam pada jam 1.15 pagi pada Ahad berhubung kejadian tersebut sebelum menemui mangsa yang dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi gerai tersebut.

“Siasatan awal oleh pihak polis di tempat kejadian mendapati dua orang lelaki berada dalam keadaan tidak sedar diri di tepi gerai burger tersebut.

“Pertalian antara mereka adalah rakan dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mangsa merupakan pekerja gerai dan mereka dipercayai terkena renjatan elektrik semasa bekerja di gerai burger tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Yahaya berkata, kes tersebut diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke HRPB Ipoh untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Show More

Related Articles

Back to top button