Berita Semasa

2 kilang proses ayam diarah tutup, tiada sijil halal, tauliah penyembelihan

KUALA LUMPUR – Dua daripada tiga buah kilang memproses ayam yang terletak di Batu Caves, di sini diarahkan tutup selepas didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak memiliki sijil tauliah penyembelihan dan tiada sijil halal.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan, selain itu premis terbabit juga didapati tidak bersih, menggajikan pekerja warga asing yang tiada suntikan tifoid, tiada sistem tapisan sisa serta menyalurkan sisa fizikal dan darah terus ke longkang awam.

“Lapan kompaun telah dikeluarkan iaitu tiga kompaun di bawah UUK 25(1)(b) UUKPPM (WPKL) 2016 kerana lantai dan dinding ruang pemprosesan ayam kotor dengan sisa efluen, lemak dan darah ayam.

“Dua kompaun di bawah UUK 38(1) UUKPPM (WPKL) 2016 kerana gagal memberikan / mengemukakan apa-apa maklumat atau dokumen serta tiga kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 kerana membuang / mengalirkan sisa efluen, lemak dan darah terus ke longkang/saliran awam,” katanya.

Pada masa sama katanya, pengurusan kilang telah diberi amaran dan nasihat berkaitan kehendak-kehendak kesihatan manakala dua premis telah diarahkan tutup serta merta melalui Notis Perintah Penutupan di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan UUK 28(1) UUKPPM (WPKL) 2016 bagi melakukan pembersihan dan penambahbaikan.

Selain itu, katanya, laporan juga akan dipanjangkan kepada Jabatan Pelesenan dan Perniagaan untuk pembatalan lesen serta turut dipanjangkan kepada agensi sahabat iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), SPAN serta Jabatan Alam dan Sekitar untuk tindakan lanjut.

Show More

Related Articles

Back to top button