Kes NFCorp: Mohamad Salleh, tiga anak dilepas dan dibebaskan
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memutuskan Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dari National Feedlot Corporation (NFCorp) bersama-sama tiga anak mereka, Wan Shahinur Izran, Wan Shahinur Izmir dan Wan Izzana Fatimah Zabedah dibebas dan dilepaskan daripada saman kerajaan membabitkan RM253.6 juta.
Hakim Anand Ponnudurai dalam penghakiman berkata, tiada berlaku sebarang salah guna atau pecah amanah dalam mana-mana urusniaga yang dijalankan oleh NFCorp.
Bagaimanapun, hakim memutuskan NFCorp perlu mengembalikan sejumlah pinjaman yang tidak digunakan sebanyak RM33 juta kepada Kerajaan.
Peguam Datuk K. Kirubakaran dan Datuk Seri Rajan yang mewakili 11 defendan dalam satu kenyataan berkata, Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Kerajaan Malaysia gagal membuktikan kes terhadap kesemua defendan.
“Mahkamah juga menyatakan bahawa tiada penyalahgunaan wang pinjaman dan tiada pelanggaran “fiduciary duties” oleh defendan-defendan. Mahkamah membebaskan keluarga Salleh dan defendan-defendan daripada semua pertuduhan penyelewengan.
“Mahkamah Tinggi mendapati bahawa Kerajaan Malaysia melanggar Perjanjian Pelaksanaan apabila mereka gagal membina “Export Quality Abattoir” dan melanggar Perjanjian Pinjaman apabila mereka membatalkan perjanjian tersebut secara tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama katanya, Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa tidak ada kesalahan undang-undang bagi para defendan menggunakan sebahagian daripada jumlah wang pinjaman untuk melabur dalam hartanah atas nama syarikat. NFCorp tidak melanggar Perjanjian Pinjaman dan Perjanjian Pelaksanaan dalam hal ini.
Menurut kenyataan itu juga Mahkamah Tinggi juga mendapati bahawa matlamat projek tidak tercapai kerana Kerajaan Malaysia gagal membina “Export Quality Abattoir”.
Selain itu, katanya, Mahkamah Tinggi membenarkan tuntutan balas NFCorp dan membenarkan ganti rugi nominal.