Berita Semasa

Belanjawan 2024: Diskaun pinjaman PTPTN diteruskan – PM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun
bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024.

Perdana Menteri berkata, justeru diskaun akan diberikan atas beberapa kadar yang diputuskan.

“Hutang mesti dibayar. Bagi membina sikap bertanggungjawab dalam kalangan peminjam, kerajaan bersetuju untuk memberikan diskaun bayaran balik pinjaman PTPTN bermula 14 Oktober 2023 sehingga 31 Mac 2024 dengan kadar diskaun 10 peratus atas baki hutang untuk penyelesaian penuh pinjaman.

“Kedua, diskaun 10 peratus untuk bayaran sekurang-kurangnya 50 peratus daripada baki hutang dalam sekali bayaran dan diskaun 15 peratus untuk bayaran secara potongan gaji atau debit terus berjadual,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2024 di sini hari ini.

Dalam pada itu menyentuh mengenai kebajikan mahasiswa, Anwar turut mengumumkan yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

“Saya ingin tegaskan terkait kebajikan pelajar universiti. Saya tidak akan sama sekali mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian.

“Tidak ada duit untuk bayar yuran tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalang mahasiswa mengambil peperiksaan. Bermula Januari 2024, yuran bagi tujuan pendaftaran masuk ke universiti awam dihadkan untuk tidak melebihi RM1,500.

“Ini supaya selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua bakal pelajar baharu yang layak,” katanya.

Sementara itu, katanya, pelajar sedia ada yang tidak mampu membayar yuran pengajian tidak akan disekat bagi mendaftar subjek pada setiap semester dan bayaran boleh dilunaskan selepas pendaftaran subjek.

Katanya, sebarang peraturan pembayaran oleh universiti hendaklah mengambil kira kebajikan pelajar.

Show More

Related Articles

Back to top button