Pematuhan TikTok dengan undang-undang Malaysia tidak memuaskan – Fahmi
KUALA LUMPUR – Pematuhan platform media sosial TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan mesti diperbetul segera.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia.
“TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform berkenaan, termasuk penularan yang bersifat ‘Coordinated Inauthentic Behaviour’ (CIB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Fahmi mengadakan pertemuan bersama pengurusan tertinggi TikTok yang diketuai Naib Presiden Global TikTok, Helena Lersch semalam.
Fahmi berkata, pertemuan itu adalah untuk mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu di platform media sosial itu serta operasi TikTok Shop di Malaysia.
“Saya tekankan pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan, dan hal ini mesti diperbetul segera. Pihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini.
“Saya juga menegaskan perlunya TikTok mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit. Ini berikutan aduan daripada gedung-gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan akibat iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial.
“TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Sehubungan dengan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera untuk menyelesaikan isu-isu ini,” ujarnya.