Berita Semasa

Tingkat literasi digital, MCMC dan MIV anjur bengkel bersama sekolah

CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Malaysia ICT Volunteer (MIV) baru-baru ini menganjurkan Bengkel MIV Bersama Sekolah 2023 Peringkat Negeri.

Bengkel bertujuan meningkatkan literasi digital serta pengetahuan guru dan pelajar berkaitan penggunaan ICT secara berhemah tersebut dianjurkan di lima negeri – Kedah, WP Putrajaya, WP Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Terengganu.

Sebanyak 218 orang wakil yang terdiri daripada Guru Penyelaras ICT, Guru Pendidikan Khas, serta para pegawai daripada Jabatan Pendidikan Negeri menyertai bengkel tersebut.

Selain menggalakkan penggunaan ICT secara bertanggungjawab, bengkel yang dianjurkan tersebut mendedahkan para peserta tentang penggunaan ICT secara optimum.

Selain itu, sesi perkongsian turut menyentuh mengenai kaedah melindungi diri daripada menjadi mangsa ancaman dalam talian.

Selain daripada sesi perkongsian inisiatif MCMC iaitu Klik Dengan Bijak (KDB), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut terlibat dalam bengkel tersebut sebagai rakan strategik.

Ringkasan Modul yang dikongsikan termasuk ‘Impak Penggunaan ICT Terhadap Kesihatan’ serta ‘Penguatkuasaan Jenayah Siber di Malaysia’ yang dilihat dapat memberi pendedahan kepada para guru yang terlibat dalam usaha mendepani penyalahgunaan ICT yang semakin mencabar pada masa kini.

Untuk rekod, sejak tahun 2016 hingga 2022, MCMC telah berjaya menganjurkan sebanyak 22 sesi Bengkel MIV Bersama Sekolah dengan penglibatan seramai 2,596 orang guru di seluruh negara.

Bengkel MIV Bersama Sekolah adalah salah satu dari empat kumpulan fokus di bawah inisiatif MIV.

Show More

Related Articles

Back to top button