Berita Semasa

Tauliah mengajar Ustaz Dusuki tetap ditarik balik – MAIS

SHAH ALAM – Tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani tetap ditarik balik meskipun Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar terhadapnya Khamis lalu.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam itu namun keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap pendakwah itu dibuat selaras dengan titah Sultan Selangor.

“Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ini sama sekali tidak menyentuh dan tidak mempersoalkan penarikan balik tauliah atas titah Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik. Justeru, titah Sultan Selangor ini masih berkuat kuasa di Selangor.

“MAIS menegaskan bahawa keputusan MAIS untuk menarik balik tauliah mengajar agama Islam terhadap Ustaz Dusuki Abdul Rani ini dibuat selaras dengan Sultan Selangor yang berkaitan dan berdasarkan maklumat tentang status keaktifannya dalam parti politik termasuk tapisan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 5 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam membuat keputusan itu berdasarkan alasan ketidakpatuhan prosedur semasa proses penarikan balik tauliah dibuat

Menurut Abdul Aziz lagi, pihaknya juga memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam tersebut.

Katanya, rayuan yang difailkan ini hanya bersifat akademik semata-mata kerana tempoh tauliah mengajar agama Islam Dusuki telah pun tamat pada 30 Jun lalu.

Show More

Related Articles

Back to top button