PSM terima 24 tempahan guna SBNJ untuk sukan sekolah
PUTRAJAYA – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah menerima sebanyak 24 permohonan untuk tempahan sukan sekolah di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ).
Menurut Kementerian Belia dan Sukan, Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Bandaraya, Kuala Lumpur menjadi sekolah pertama yang menganjurkan sukan sekolah tahunan secara percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
“Seiring dengan hasrat Menteri Belia dan Sukan, pelaksanaan konsep merakyatkan
sukan melalui penggunaan fasiliti sukan di bawah PSM ini bertujuan untuk memfokuskan olahraga sebagai satu sukan pembangunan akar umbi di peringkat sekolah serta murid-murid sekolah dapat merasai pengalaman berlari di SBNJ yang boleh memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi seorang atlet,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu lagi, inisiatif itu diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada sambutan Ulang Tahun ke 25 Kuala Lumpur Sports City (KLSC) pada 25 Julai yang lalu,
Katanya, beliau telah mengumumkan pemberian penggunaan secara percuma fasiliti Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk kegunaan Sambutan Hari Sukan Sekolah tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan fasiliti.
“Antara fasiliti yang terlibat adalah penggunaan trek dan fasiliti di Stadium Nasional, Kuala Lumpur Sports City dibuka untuk penggunaan sekolah, penggunaan gelanggang bola jaring dan boling padang di Kompleks Sukan Bukit Kiara serta padang Stadium Hoki Tun Razak di Kompleks Sukan Jalan Duta.
“Penggunaan fasiliti PSM secara percuma ini masih terbuka buat semua sekolah sehingga tahun 2025. Untuk sebarang pertanyaan berhubung perkara ini, boleh layari portal PSM di www.stadium.gov.my atau hubungi talian 03-8892 0888,” katanya.