130 kerosakan dikesan di jalan persekutuan, negeri akibat banjir
ROMPIN – Sebanyak 130 kerosakan jalan raya dilaporkan di jalan persekutuan dan negeri di beberapa negeri yang dilanda banjir setakat ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 56 kerosakan adalah di jalan persekutuan
Tambahnya, kos pembaikan yang diperlukan dianggarkan berjumlah hampir RM130 juta, dan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap kerosakannya setelah peruntukan diterima.
“Yang mana boleh dipercepatkan kita akan segerakan, kalau ada yang perlu bina jambatan dan seumpamanya kita akan lakukan kajian terlebih dahulu,” katanya kepada pemberita selepas memantau pemasangan jambatan bailey di laluan FT2490 Jalan Masuk ke Perwira Jaya dan Selancar, di sini hari ini.
Mengulas mengenai pemasangan jambatan bailey atau jambatan panel keluli bermodular sepanjang 42.67 meter (140 kaki) itu, beliau berkata ia giat dijalankan dan dijangka siap petang esok.
Menurutnya, kerja-kerja menstabilkan hakisan telah dilaksanakan semalam sebelum pemasangan jambatan itu dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama Angkatan Tentera (ATM) melibatkan 80 petugas.
“Setakat ini, pemasangan berjalan lancar yang mana mereka bekerja secara 24 jam, cuma mungkin cabaran di sini ialah kawasannya agak sempit namun mereka akan lakukan sehabis baik untuk menyiapkan pemasangan jambatan itu,” katanya.
Menurut Wan Ahmad Uzir lagi, komponen-komponen jambatan sementara tersebut telah digerakkan ke lokasi pada Khamis dari JKR Daerah Kuala Pilah, Negeri Sembilan dan JKR Daerah Petaling, Selangor.
Runtuhan jalan yang dianggarkan sepanjang 23 meter itu mengakibatkan kira-kira 12,000 penduduk setempat mengalami kesukaran untuk menuju ke bandar selepas jalan berkenaan ditutup bagi semua jenis kenderaan demi keselamatan pengguna.
Jalan tersebut merupakan laluan yang menghubungkan penduduk setempat Felda Selancar ke Segamat dan juga ke Muadzam Shah, di sini.