Pukul penghantar makanan, lelaki dipenjara dua bulan, denda
KLANG – Gara-gara gagal mengawal kemarahan dan bertindak memukul penghantar makanan di persimpangan lampu isyarat Jalan Langat-Klang, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Tertuduh, Mohd Faizul Nazri, 39, dijatuhi hukuman selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di depan Majistret Siti Zubaidah Mahat.
Hukuman penjara yang dikenakan berjalan dari tarikh di tangkap dengan tambahan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.
Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki berusia 21 tahun yang patah dan retak tulang rahang.
Mohd Faizul didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 7.15 petang Ahad lalu.
Terdahulu, peguam yang mewakili tertuduh, Nicholas Cheoh memohon tertuduh dikenakan hukuman pemenjaraan minimum daripada tarikh ditangkap.
“Saya difahamkan isteri tertuduh sarat mengandung dan dia berhasrat berada di sisi isterinya bila melahirkan anak pertama mereka.
“Tertuduh juga menyesal dan memberi aku janji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Jannah Aimi memohon mahkamah memberikan denda setimpal berikutan terdapat saksi tertuduh bertindak tanpa belas kasihan sehingga mencederakan mangsa.
“Mangsa dalam kes ni retak di bahagian rahang dan kes gangsterisme di jalan raya sering berlaku. Saya memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajarnn bukan saja pada tertuduh tetapi orang awam,” katanya.
Siti Zubaidah dalam penghakimannya berharap tertuduh mengambil iktibar dengan kejadian itu selain mengingatkan tertuduh tidak mengikut perasaan serta menunjuk hebat di jalan raya.