Rencana

Dibunuh suami, pusaka dan pencen tidak diwarisi

KEJADIAN tragis yang menggemparkan Perlis semalam apabila seorang jururawat didakwa dibunuh oleh suaminya sendiri telah mengejutkan seluruh negara.

Tiada siapa pun yang menjangka tragedi menyayat hati seperti itu yang sering kali dilaporkan terjadi di luar negara akan berlaku di Malaysia. Masing-masing tertanya-tanya apakah yang telah ‘merasuk’ pelaku itu sehingga sanggup membunuh ibu kepada zuriatnya sendiri tanpa rasa belas kasihan.

Selain itu, kejadian menyayat hati ini turut menimbulkan persoalan kepada masyarakat mengenai masa depan anak-anak mangsa selepas ketiadaan ibu dan bapa mereka pula tidak dapat dijangka nasibnya kerana kebiasaannya kes pembunuhan akan berakhir di tali gantung jika cukup bukti dan sebagainya mengikut undang-undang.

Di sinilah timbul persoalan mengenai status harta pusaka yang ditinggalkan mangsa untuk warisnya terutamanya kepada anak-anaknya yang masih kecil. Walaupun isu ini dilihat sensitif untuk dibincangkan, ia sebenarnya tetap perlu dilunaskan terutama oleh waris si mati apabila tiba masanya.

Mahu tidak mahu, isu harta pusaka yang sering diabaikan dalam masyarakat khususnya Melayu perlu diberi perhatian kerana kebanyakan harta pusaka tidak diurus dengan betul.

Berbalik kepada tragedi berkenaan, apabila berlaku kes pembunuhan ia secara automatik menyebabkan waris qadim terbatal kelayakan mereka. Dalam faraid, siapa-siapa yang didapati membunuh tidak layak mewarisi pusaka.

Abdul Hadi Pilus

Maka, dalam kes ini, hanya anak-anak lelaki mewarisi 2 bahagian, ayah 1/6 dan ibu 1/6 bahagian yang layak sebagai waris pusaka.

Di dalam situasi ini, hak penjagaan (hadhanah) dan juga hak pentadbir harta perlu dilihat. Perlu difahami, hak penjagaan dan hak pentadbir harta adalah dua perkara yang berbeza.

Ramai yang keliru dengan situasi ini di mana hak penjagaan dan hak pentadbir harta tidaklah perlu kepada orang yang sama. Hak penjagaan kebiasaan berpihak kepada waris sebelah ibu, dan hak pentadbir harta diberikan kepada datuk sebelah ayah.

Di sinilah pentingnya kefahaman di atas kerana wujudnya pencen yang akan diterima oleh anak-anak yang akan ditadbir oleh datuk sebelah ayah jika pelaku didapati bersalah dan hilang kelayakkan penerima pencen disebabkan tindakan yang telah dilakukan.

Mengikut Akta 227, Akta Pencen 1980, Seksyen 21 subseksyen(1), jika disabit kesalahan maka pencen atau faedah lain itu hendaklah terhenti dengan serta merta.

Walaubagaimanapun, semua isu di atas boleh ditentukan secara muafakat di antara dua keluarga dalam hal penjagaan dan pentadbir harta untuk kebajikan anak-anak si mati.

Yang lebih penting, semuanya perlu diuruskan mengikut keperluan syariah dan perundangan sivil supaya semua pihak terjamin haknya.

Oleh ABDUL HADI PILUS, Pengarah Komersial Mawarith Integrated Sdn Bhd (MiiM)

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysia Tribune

Show More

Related Articles

Back to top button