Dadah RM2 juta dirampas Kastam di KLIA
SEPANG – Jabatan Kastam berjaya menggagalkan cuba menyeludup dadah seberat 61 kilogram yang dianggarkan bernilai RM2 juta dalam tiga bungkusan di Terminal Kargo Udara, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.
Pengarah Operasi Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah, Wong Pun Sian berkata, cubaan menyeludup dadah jenis methamphetamine yang diikrar sebagai alat gantian kenderaan itu berjaya digagalkan pada 5 September lalu ketika pemeriksaan dilakukan.
“Kastam menemui dan merampas 60 bungkusan berisi kristal dipercayai methamphetamine yang terdapat tulisan ‘refined Chinese tea’ dan beberapa tulisan lain dalam bahasa Mandarin.
“Modus operandi adalah dengan cara mengikrar bungkusan sebagai alat ganti kenderaan dan menyembunyikan dadah dalam paket plastik teh bagi tujuan mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.
Pun Sian berkata, berdasarkan butiran penghantaran, bungkusan tersebut menggunakan alamat penerima di Kota Kinabalu, Sabah.
Katanya, siasatan lanjut sedang giat dijalankan bagi mengesan suspek yang terlibat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan jumlah berat dadah itu, Wong berkata rampasan itu berjaya membanteras pengedaran bahan berbahaya terbabit kepada kira-kira 305,000 penagih.