Bayaran melalui QR akan dikenakan caj bermula 1 November ini
KUALA LUMPUR – Semua transaksi pembayaran melalui aplikasi DuitNow QR akan dikenakan caj transaksi kepada penerima bermula 1 November ini.
Penstrukturan daripada perkhidmatan yang sebelum ini percuma itu dimaklumkan melalui emel RHB Reflex melibatkan semua bank.
Menurut e-mel itu, caj akan ditolak daripada akaun semasa atau simpanan pada setiap 5 hari bulan.
Bahagian khidmat pelanggan RHB Reflex mengesahkan “merchant” atau penjual yang menerima wang menerusi DuitNow QR akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.
“Sebanyak 0.25% akan dicaj daripada akaun penjual jika pembayaran dibuat daripada akaun semasa atau simpanan, manakala 0.50% dikenakan untuk pemindahan menerusi kad kredit,” katanya memetik laporan MalaysiaNow.
Perkhidmatan DuitNow QR membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.
Ia ditubuhkan melalui PayNet di bawah Interoperable Credit Transfer Framework BNM.
Sebelum ini, tiada caj transaksi dikenakan untuk pemindahan wang bawah RM5,000.
Caj sebanyak RM0.50 dikenakan untuk transaksi melebihi amaun RM5,000.
Antara entiti bukan bank yang menggunakan DuitNow QR termasuklah Boost, Grabpay, Setel dan Touch ‘n Go.
Perkara itu turut dimaklumkan oleh khidmat pelanggan Maybank ketika dihubungi MalaysiaNow.
“Caj dikenakan untuk pemindahan antara bank dan aplikasi yang menggunakan khidmat DuitNow.
“Tetapi jika pemindahan wang antara penghantar dan penerima menggunakan Maybank QR, tiada caj dikenakan,” katanya.
Sementara itu, khidmat pelanggan CIMB berkata tiada notis oleh CIMB mengenai caj itu buat masa ini.
“Kami belum dapat apa-apa notis menyatakan caj dikenakan kepada pelanggan untuk penggunaan DuitNow QR,” katanya.
HSBC pula memaklumkan tiada memo dikeluarkan setakat ini namun akan memaparkan kemas kini di laman sesawang sekiranya caj tersebut mula dikenakan.