Ismail Sabri akan deklamasi puisi sempena Simposium Aspirasi Pengantarabangsaan Bahasa Melayu
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mendeklamasikan puisi pada malam Gema Puisi 2023 sempena Simposium Aspirasi Pengantarabangsaan Bahasa Melayu (SAABM), Isnin ini.
Menurut Pengerusi SAABM, Kamarazaman Yacob, SAABM 2023 adalah aspirasi daripada Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2022 yang telah diadakan pada 22 hingga 24 Mei 2022 di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.
“Matlamat utama simposium ini adalah bagi menyahut kenyataan yang mahukan Bahasa Melayu dimartabatkan dalam negara dan diperluas penggunaannya di peringkat ASEAN dan antarabangsa di samping memperkasa sosial budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut katanya, SAABM juga berupaya menjadi medium dan pentas kepada para pejuang Bahasa Melayu untuk menyuarakan pandangan dan idea untuk menyebarluaskan semangat perjuangan Bahasa Melayu sama ada di dalam negara atau sehingga ke peringkat antarabangsa.
Malah, katanya, penganjuran SAABM 2023 ini juga selari dengan penubuhan Kursi Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Pengajian Melayu dan Ketamadunan) di TGBC Thailand pada 26 Ogos 2023.
“TGBC dan RMUTT berfungsi sebagai hab pendidikan untuk meluaskan jaringan Pengajian Melayu dan ketamadunan di Thailand. Program simposium ini akan melibatkan satu ucap utama, empat sidang dan satu forum serta penyediaan resolusi yang membabitkan pembentangan kertas kerja oleh tokoh dari Malaysia dan negara-negara ASEAN dan antarabangsa.
“Alhamdulillah, kita berjaya menarik beberapa tokoh pejuang bahasa untuk menjadi panel dan moderator bagi sidang dan forum seperti Syed Mohd Zakir Syed Othman, Penerima Anugerah SEA Write 2011, dan Hishamuddin Rais, Aktivis Sosial dan Penulis,” katanya.