Dulu penagih kini pengusaha kambing golek berjaya
KUALA SELANGOR – Terjebak dalam kancah penagihan dadah selama lebih 15 tahun menjadi pengalaman hitam yang tidak mungkin dilupakan Mohd. Razi Abu Kassim, 39.
Bermula sekadar suka-suka kononnya untuk menambah tenaga ketika bekerja, dia akhirnya dijerat ketagihan sehingga memusnahkan rumah tangga dan kehabisan semua wang simpanannya.
Radzi terjebak dengan pengambilan dadah jenis syabu sejak tahun 2001 ketika bekerja sebagai chef di sebuah hotel terkemuka di ibu negara.
“Pada waktu itu saya masih muda dan mudah terpengaruh dengan rakan sebaya sehingga berani mengambil benda terlarang.
“Kononnya mengambil dadah itu hanya untuk kuatkan tenaga ketika bekerja tetapi akhirnya saya menjadi semakin ketagih,” katanya ketika ditemu ramah di Tanjung Karang petang semalam.
Radzi ditemui semasa Program Retreat Media di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dianjurkan oleh Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), kelmarin.
Namun kini, segalanya berubah 360 darjah apabila Radzi menjadi usahawan kambing dan lembu ternakan hasil bimbingan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dari tahun 2018 sehingga tahun 2020.
Bapa kepada lima orang anak itu berkata, hasrat untuk berubah dan membebaskan diri dari belenggu najis dadah tercetus ketika sedang berniaga di bazar Ramadhan pada 2018.
“Ketika itu saya merasakan Allah ingin saya cepat berubah sebelum terlambat, pada ketika itulah saya rebah dan selepas pihak hospital mengambil sampel darah, doktor mengesahkan bahawa saya positif mengambil dadah.
“Kemudian saya tekad berjumpa dengan pegawai di ADDK Kuala Selangor dan mejalani proses pemulihan dadah,” tambahnya lagi.
Radzi bersyukur kerana masih diberikan kesempatan untuk menjalankan perniagaan bersama abangnya.
“Alhamdulilahh, sehingga kini jenama perniagaan kami ‘Dopper Grill’ berjalan dengan lancar dan mempunyai 70 ekor lembu dan 20 ekor kambing dengan dua jenis baka iaitu kampung dan biri-biri.
“Secara purata sebulan perniagaan ini mendapat sambutan sebanyak 20 sehingga 30 ekor jika mengikut kehendak permintaan pelangaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyeru kepada pelatih-pelatih yang telah menjalani program pemulihan dadah di AADK supaya terus cekal untuk membaiki diri dan menggunakan segala kepakaran untuk mengubah nasib keluarga.
“Apa yang penting kita perlu belajar daripada kesilapan lalu dan tidak melupakan pengalaman hitam itu sebagai pedoman supaya tidak diulangi lagi,” katanya.