Rencana

Eko-sistem dan sijil Halal Malaysia kini di persada dunia – PM

MENCARI sesuatu yang halal (yakni yang diperbolehkan dalam syariat Islam) adalah merupakan kewajipan ke atas semua umat Islam. Dalam Al-Quran, terdapat beberapa firman Allah SWT yang menyentuh perkara berhubung dengan Halal. Di antaranya Ayat 168, Surah Al-Baqarah yang bermaksud:

“Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”

Allah telah mensyariatkan kita untuk mengaplikasi halal dalam kehidupan seharian bukan sahaja apa yang dimakan dan dipakai, namun juga meliputi semua aspek kehidupan.

Namun, definisi halal adalah sangat luas dan bukan sahaja khusus untuk mereka yang menganut agama Islam. Peningkatan jumlah pengguna halal daripada populasi bukan Islam di seluruh dunia turut meletakkan industri ini berada di platform pertumbuhan yang eksponen.

Sehubungan dengan itu, di zaman moden ini, halal meliputi segenap aktiviti yang dilakukan di dalam kehidupan masyarakat termasuklah produk penjagaan diri, ubat-ubatan, perkhidmatan dan pengkomersialan yang berkaitan dengan industri halal itu sendiri.

Ia juga semakin menjadi piawaian pilihan bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam, tetapi juga bukan Islam.

MALAYSIA SEBAGAI PENERAJU EKONOMI HALAL GLOBAL 

Perkara ini telah ditegaskan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap melancarkan Global Halal Summit (GHaS) 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa 12 September baru-baru ini.

Pada persidangan antarabangsa itu, Anwar menegaskan betapa dalam pertemuan beliau dengan pemimpin-pemimpin dari Jepun, China dan Korea yang kini merupakan gergasi ekonomi dunia, satu subjek yang acap kali dibangkitkan ialah industri halal dan Malaysia sebagai pusat pengeluaran persijilan halal yang diiktiraf dunia.

Ini, menurut Perdana Menteri adalah satu kelebihan yang perlu disedari dan direbut sepenuhnya oleh negara.

“Begitu juga ketika lawatan rasmi saya ke Vietnam dan Laos baru-baru ini, dalam rundingan dua hala yang diadakan, saya ditanya secara terperinci mengenai aspek pensijilan halal dan eko-sistem industri halal dan mereka memohon bantuan Malaysia di dalam melatih dan membuka laluan kepada pengwujudan rangkaian produk halal di negara mereka.

“Kenapa kita ditanya? Ia adalah kerana dunia mengiktiraf ketelitian dan eko-sistem yang kita wujudkan di dalam industri halal,” ujar beliau.

Malah konsep Ekonomi Madani yang dilancarkan baru-baru ini menzahirkan aspirasi untuk pembangunan negara melalui pengukuhan perdagangan termasuk industri halal yang lebih inovatif dan berdaya saing malah ini meletakkan Malaysia di landasan yang betul dengan keutamaan yang ditetapkan untuk memupuk daya saing industri halal yang inklusif sebagai salah satu daripada strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk mempercepatkan pembangunan industri yang berimpak tinggi.

Pertumbuhan sektor halal bukan sahaja didorong oleh populasi Islam di seluruh dunia, tetapi terdapat faktor-faktor seperti nilai tambah, kebersihan dan keasliannya, yang menjadikan produk halal Malaysia berada di kedudukan yang tinggi dan juga menjadi pilihan utama pengguna di negara bukan Islam.

Malaysia telah lama menjadi peneraju industri halal. Kerajaan telah giat membangun dan meningkatkan eko-sistem halal, termasuk penyelidikan dan pewujudan infrastruktur yang baik dan diiktiraf untuk menyokong perkembangan sektor halal negara.

Ini dapat dilihat melalui:

> Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang merupakan agensi yang bertanggungjawab bagi pensijilan Halal. Logo Halal JAKIM Malaysia mempunyai reputasi yang sangat baik serta jaminan bahawa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan adalah berdasarkan piawaian yang ditetapkan  dengan integriti yang diyakini.

> Eko-sistem halal negara diperkukuhkan lagi dengan penubuhan Halal Development Corporation Berhad (HDC) yang bertanggungjawab membangunkan industri halal. Eko-sistem industri ini tidak hanya perlu bertumpu kepada produk makanan dan minuman sahaja namun perlu diperluaskan kepada produk lain seperti kosmetik dan farmaseutikal serta perkhidmatan seperti perbankan dan takaful.

Eko-sistem yang kukuh ini membolehkan Malaysia menjadi peneraju industri halal global yang kompetitif dengan menghubungkan kerajaan, pemain industri serta para pengguna dalam rantaian nilai halal. Melalui penciptaan peluang, pelaburan, perdagangan, pekerjaan, perkongsian maklumat dan pemindahan teknologi dalam rantaian nilai halal, kita mampu menjadikan industri ini lebih kompetitif dan berdaya saing bagi menangani cabaran perdagangan global.

> Jabatan Standard Malaysia (JSM) turut berperanan untuk memartabatkan industri halal Malaysia sebagai satu penanda aras terhadap nilai kualiti serta tahap keselamatan sesuatu barangan yang menepati piawaian atau standard antarabangsa. Sekali lagi, ini tidak terhad kepada pasaran di negara Islam semata-mata. Kita berbangga apabila Malaysia menjadi negara yang pertama mewujudkan Malaysian Standards atau MS berkaitan halal yang menjadi rujukan kepada negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

> Sebagai pelengkap kepada eko-sistem dan ekonomi halal Malaysia, GHaS 2023 akan terus mengekalkan momentum halal ini dengan menyediakan lebih banyak peluang baharu. Penganjuran GHaS ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mempromosi serta mengekalkan reputasi halal, bukan setakat di Malaysia sahaja namun juga di peringkat antarabangsa.

GHaS telah membuka ruang dan peluang serta menjadi platform terbesar kepada semua pemain industri halal dunia, sejajar dengan sasaran kita untuk terus menjadikan Malaysia negara pilihan utama bagi produk dan perkhidmatan halal di peringkat antarabangsa.

Seterusnya GHaS, khususnya melalui program ikoniknya MIHAS, turut berfungsi sebagai pilihan terbaik untuk pemain industri menjalin hubungan dengan rakan-rakan perniagaan dari seluruh dunia.

MEMPERKASA STRATEGI MALAYSIA SEBAGAI PENERAJU GLOBAL DALAM INDUSTRI HALAL 

JAKIM selaku badan yang diiktirafkan oleh kerajaan, bertanggungjawab mengeluarkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) berdasarkan standard halal yang dibangunkan dengan kerjasama JSM. Sejumlah 15 standard telah dibangunkan bagi sektor halal merangkumi skim makanan dan minuman, farmaseutikal, logistik, kosmetik, ujian makmal halal dan perkhidmatan hospitaliti mesra Muslim.

Hari ini kita berada di ambang evolusi industri halal yang mengagumkan, dipacu oleh permintaan berterusan dari pasaran global. Bagi melindungi cap dagangan Halal Malaysia sebagai harta intelek yang amat bernilai, JAKIM telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan proses pendaftaran cap dagangan Halal Malaysia di luar negara melalui SIRIM Berhad.

Sehingga kini, cap dagangan atau logo Halal Malaysia ini telah didaftar dan digunapakai di 26 negara selain Malaysia termasuk Amerika Syarikat, Brazil, Australia, New Zealand, Jepun, Korea Selatan, Mesir, Emeriah Arab Bersatu dan Kazakhstan.

Buat julung kalinya juga, pemain industri di luar negara berpeluang untuk membuat permohonan secara terus kepada JAKIM bagi pensijilan Halal Malaysia, melalui inisiatif terbaharu iaitu ‘International Direct Application for Malaysian Halal Certification’.

Pensijilan Halal Malaysia antarabangsa ini merangkumi tujuh skim iaitu:
a.   Produk Makanan dan Minuman;
b.   Kosmetik;
c.   Farmaseutikal;
d.   Barang Gunaan;
e.   Perkhidmatan Logistik;
f.    Peranti Perubatan; dan
g.   Pengilangan Kontrak.

Inisiatif ini perlu dilihat sebagai satu gerbang yang menghubungkan kita kepada peluang tanpa sempadan. JAKIM meneruskan usaha ini dengan pelaksanaan dan penguatkuasaan ‘Manual Procedure for Malaysia Halal Certification (International) 2023’.

Garis panduan yang telah dirangka secara komprehensif ini berfungsi sebagai pemandu arah bagi pemain industri halal bertapak di peringkat global. Ini bertujuan untuk memelihara integriti dan keyakinan pengguna terhadap logo Halal Malaysia, terutamanya dalam lanskap global yang lebih kompleks dan semakin mencabar.

Usaha JAKIM ini juga menjadi pemangkin kepada negara-negara lain untuk mengikut jejak langkah Malaysia yang merupakan perintis industri halal dunia. Sinergi kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan badan-badan pensijilan antarabangsa serta pemain industri halal mampu  menangani cabaran ekonomi dunia semasa dan mendorong kita untuk memperkasakan lagi industri halal global.

Atas sebab itulah, seruan Perdana Menteri agar pemain industri halal negara memanfaatkan sepenuhnya eko-sistem Halal Malaysia yang kukuh ini untuk meneroka dan mencipta peluang yang lebih besar dalam pasaran Halal global perlu diberi perhatian secukupnya oleh semua pemain.

Sebagai hab halal global yang utama, ini secara tidak langsung akan membolehkan Malaysia menyumbang kepada syer pasaran halal dunia yang dijangka berkembang 3.5 peratus setiap tahun untuk mencapai jumlah AS$2.4 trilion pada tahun 2024.

GHaS merupakan satu platform utama pertemuan Badan Pensijilan Halal seluruh dunia untuk bertukar pandangan dalam meneroka amalan terbaik, mencetuskan percambahan idea dan berkongsi perkembangan terkini industri halal dalam memartabatkan pensijilan halal sedunia.

Show More

Related Articles

Back to top button