Suami isteri maut kemalangan langgar trak tentera
GURUN – Pasangan suami isteri maut selepas motosikal ditunggangi mereka terbabit kemalangan dengan trak tentera di Kilometer 87, Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira 2 petang itu turut menyebabkan motosikal yang ditunggangi pasangan itu terbakar.
Mangsa dikenali sebagai Ridzuan Salleh, 42, dan isterinya, Rosmawati Ismail, 39.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak, Penolong Penguasa Bomba Mohd Fauzi Razali berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.01 petang sebelum sepasukan anggota bersama dua jentera dari BBP Guar Chempedak diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Awa Suziana Abd Wahid serta tujuh anggota tiba di lokasi.
“Pasukan keluaran operasi memberi rawatan awal kepada mangsa yang cedera ketika itu dan memadam kebakaran motosikal,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Mohd Fauzi berkata, mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.