Berita Semasa

PM sampaikan bantuan kepada anak P.Ramlee

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib yang menimpa anak kepada seniman agung negara, Allahyarham P. Ramlee, Sazali, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan bantuan bagi meringankan beban yang dialaminya dan isterinya.

Menurut Anwar, bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha Politiknya, Ahmad Farhan Fauzi hari ini.

“Malang buat beliau tatkala terlibat dengan kemalangan sehingga jatuh dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU) dan tidak lagi punya kekuatan untuk bekerja dan mencari rezeki.

“Kini isterinya memerlukan perhatian dan rawatan segera dari doktor akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher.

“Lantaran itu, saya telah mengutuskan Setiausaha Politik saya untuk segera ketemu saudara Sazali dan menyampaikan bantuan daripada pihak saya. Alhamdulillah, saudara Farhan telah berjumpa Sazali petang tadi,” katanya dalam satu hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam pada itu, Anwar berharap sumbangan tersebut dapat meredakan beban yang ditanggung Sazali dan isteri.

“Saya mendoakan urusan rawatan dipermudah serta lekas diberi kesembuhan oleh Allah SWT, Insya-Allah,” katanya.

Baru-baru ini, Sazali, 64, memohon bantuan kewangan buat isterinya, Hamidah Hitam, 61, yang akan menjalani pembedahan akibat masalah tulang belakang dan saraf di leher.

Sazali berkata, isterinya yang sudah lama berhadapan masalah kesihatan itu dinasihatkan doktor supaya membuat pembedahan di leher segera, namun tidak dapat berbuat demikian kerana kekangan kewangan dihadapi.

Show More

Related Articles

Back to top button