Hari Kebangsaan: Anwar sampaikan Amanat Perdana petang ini
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan akan menyampaikan Amanat Perdana sempena Hari Kebangsaan 2023 di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 2 petang ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan akan menyampaikan amanat pertamanya sempena Hari Kebangsaan sejak mengambil alih pentadbiran negara pada November tahun lepas.
Amanat tersebut itu juga akan disiarkan secara langsung menerusi stesen-stesen media tempatan seperti Bernama TV dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), selain menerusi Facebook rasmi perdana menteri dan Kementerian Komunikasi dan Digital.
Dijangkakan, lebih 100,000 pengunjung bakal menghadiri kemuncak sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan’, yang akan berlangsung di Putrajaya esok.
Untuk rekod, ini merupakan kali kelima sambutan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya yang sebelum ini pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.
Dalam pada itu, sejumlah 10 komponen kontinjen akan memeriahkan sambutan berkenaan menerusi acara perbarisan dan perarakan terdiri daripada Kenegaraan, Perpaduan Malaysia Madani, Ekonomi, Perbankan, Telekomunikasi, Industri Kreatif, Komuniti, Sukan Negara, Kesejahteraan dan Keselamatan Negara.