Berita Semasa

Rakaman CVR Beechcraft berjaya diperoleh

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mengesahkan rakaman suara di dalam kokpit pesawat BeechCraft 390 (Premier 1) yang terhempas di Persiaran Elmina dekat sini sudah berjaya diperolehi oleh pasukan penyiasat dari Amerika Syarikat.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, rakaman suara selama 30 minit terakhir dari pesawat malang itu berjaya dianalisa dengan jelas di sebuah makmal di Florida, Amerika Syarikat semalam.

“Data tersebut telah berjaya dimuat turun semalam di sebuah makmal di Florida (terutama) rakaman suara dalam pesawat pada 30 minit terakhir.

“Rakaman itu sudah dihantar melalui ‘safe emails’ semalam selepas ia diperolehi, namun pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) masih belum pulang dan berada di Amerika Syarikat susulan berlakunya ribut

“Rakaman itu sudah dihantar kepada pasukan siasatan di Kuala Lumpur untuk dianalisa bagi membolehkan siasatan dijalankan. Laporan awal akan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas insiden berlaku iaitu kira-kira dua minggu dari sekarang,” katanya menerusi sidang media di sini hari ini.

Siasatan terhadap insiden kemalangan udara yang membunuh 10 nyawa oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) itu baru-baru ini mendapat bantuan pasukan penyiasat dari Amerika Syarikat selepas rakaman dari kotak perakam suara kokpit (CVR) gagal diekstrak.

Loke berkata, rakaman suara itu sudah dihantar semula ke Malaysia dan kini sedang dianalisis oleh pasukan BSKU di ibu negara.

Beliau berkata, langkah seterusnya selepas mendapatkan data terbabit ialah melakukan analisis dan menghasilkan transkrip daripada rakaman suara berkenaan.

Sehubungan itu, pihaknya menjangkakan laporan awal berhubung nahas pesawat terbabit dapat dikeluarkan dan dipaparkan di laman sesawang Kementerian Pengangkutan kira-kira dua minggu lagi.

“Saya tidak mahu membuat sebarang rumusan sekarang ini dan bukan untuk saya membuat rumusan itu. Walaupun pihak BSKU ada memberikan sedikit rumusan, saya tidak mahu membuat apa-apa pengumuman atau spekulasi.

“Biar pakar kita membuat analisis secara terperinci supaya laporan awal dapat dikeluarkan terlebih dahulu dan saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan sehingga pihak BSKU membuat laporan mereka,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button