Berita Semasa

Teguran PM terpakai kepada semua pihak – Loke

SEREMBAN – Anthony Loke menyifatkan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pengagihan bantuan kerajaan kepada rakyat tidak menggunakan nama dan lambang parti politik adalah tepat.

Menurut Menteri Pengangkutan itu, teguran tersebut terpakai kepada semua pihak termasuk Ahli Parlimen dan semua menteri tanpa mengira mana-mana parti

“Teguran Perdana Menteri itu memang tepat, semua pihak harus patuhi, ini merupakan peruntukan kerajaan, bukannya wang daripada individu atau mana-mana parti.

“Peruntukan kerajaan mesti disalurkan mengikut tatacara yang ditetapkan. Peruntukan ini pun dari Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban, bukan Anthony Loke, pusat khidmat adalah satu institusi.

“Jadi, sumbangan ini atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Seremban,” katanya memetik laporan BH Online.

Terdahulu, Loke menyerahkan bantuan dana menerusi peruntukan Projek Mesra Rakyat (PMR) kepada pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Sheikh Ahmad di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengetua SMK Dato’ Sheikh Ahmad, Datin Ramadhawati Wahab dan Yang Dipertua PIBG sekolah itu, Razal Mansor.

Semalam, Perdana Menteri menegaskan sebarang bentuk bantuan kerajaan yang diberikan kepada rakyat haruslah menggunakan nama kerajaan bukan atas nama atau lambang mana-mana parti politik.

Mengulas lanjut, Loke berkata setakat ini, pihaknya sudah menyalurkan kira-kira RM1.5 juta menerusi 28 projek PMR bagi kawasan Parlimen Seremban khususnya dalam membantu sekolah meningkatkan kemudahan prasarana.

“Kita faham peruntukan Kementerian Pendidikan (KPM) sudah tentu tidak dapat menampung sepenuhnya bagi semua keperluan meningkatkan prasarana sekolah.

“Jadi, sebagai Ahli Parlimen kita kena membantu dan ini keutamaan kita, kerana sekolah adalah institusi penting dan jika ada kemudahan yang lebih baik sudah tentu dapat meningkatkan motivasi guru dan pelajar,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button