Jenayah & Mahkamah

PDRM tahan lelaki disyaki buat panggilan ancaman bom

Berjaya ditahan kurang lima jam selepas laporan kejadian diterima

IPOH – Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan seorang lelaki disyaki suspek yang membuat panggilan palsu berhubung ancaman bom di sebuah pusat beli-belah di Klebang, semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Tasek dekat sini sekitar pukul 9.30 malam tadi, iaitu kurang lima jam selepas laporan kejadian diterima.

Berdasarkan keterangan dan pengakuan diberikan, suspek bertanggungjawab terhadap panggilan ancaman bom tersebut kepada pengurusan pusat beli-belah.

“Polis turut merampas peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk membuat panggilan tersebut.

“Suspek akan direman hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan ugutan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Yahaya berkata, laporan kejadian itu diterima pada jam 4.50 petang daripada pekerja yang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali tentang ancaman bom dalam bangunan.

Katanya, pemeriksaan menyeluruh kemudiannya dilakukan dengan bantuan Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Hasil pemeriksaan mengesahkan tiada sebarang objek meragukan ditemui. Selepas keadaan selamat, semua kakitangan dibenarkan masuk semula pada jam 10.30 malam,” katanya.

Beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat panggilan ancaman bom palsu dengan sewenang-wenangnya.

“Keadaan ini hanya mendatangkan ketakutan kepada orang ramai dan menggugat ketenteraman awam,” katanya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button