Exco NS angkat sumpah esok
SEREMBAN – Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah 10 Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang baharu akan diadakan di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah, esok.
Istiadat tersebut, yang akan disempurnakan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, dijadualkan berlangsung pada pukul 9 pagi.
Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan hari ini memaklumkan, mesyuarat Exco kerajaan negeri yang pertama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan seterusnya akan diadakan di Wisma Negeri di sini, selepas majlis angkat sumpah berkenaan.
Bagaimanapun, pembahagian Exco mengikut parti dan portfolio masih belum diketahui setakat ini.
Laporan media sebelum ini menyebut, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berharap wakil daripada Barisan Nasional (BN) memperoleh lima atau enam kuota jawatan Exco.
Ini kerana berdasarkan kepada jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri(DUN) yang dimenangi oleh Barisan Nasional(BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Pada PRN itu, BN menang di 14 kerusi DUN daripada 17 kerusi yang ditandingi calon daripada parti UMNO.
Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 17 kerusi, yang mana DAP memenangi 11 kerusi, PKR lima kerusi manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh Parti Amanah Negara (Amanah).
Baki lima lagi kerusi yang sebelum ini disandang PH dan BN jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).