Berita Semasa

Peningkatan DDI suku pertama tahun ini bukti keyakinan syarikat terhadap dasar kerajaan – PM

KUALA LUMPUR – Peningkatan nisbah pelaburan langsung domestik (DDI) pada suku pertama tahun ini mencerminkan peningkatan keyakinan syarikat dan perniagaan tempatan terhadap dasar kerajaan semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam merancakkan landskap pelaburan negara, kerajaan hari ini telah menetapkan pelaburan tersebut sebagai salah satu petunjuk prestasi utama (KPI) bagi menjana jumlah pelaburan negara.

“Bagi tahun 2022, sejumlah RM267.7 bilion pelaburan daripada 4,517 buah projek yang diluluskan daripada pelbagai sektor ekonomi (sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama) di Malaysia yang akan menjana
140,440 peluang pekerjaan.

“DDI menyumbang sebanyak RM104.4 bilion (38.9 peratus) kepada jumlah ini manakala bagi suku pertama 2023, nisbah FDI:DDI adalah 52.5 peratus bagi FDI dan 47.5 peratus bagi DDI, dari komitmen pelaburan berjumlah RM71.4 bilion (peningkatan 59.7 peratus tahun ke tahun),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara Kedua di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan, khususnya melalui MITI komited untuk sentiasa mengimbangi kedua-dua pelaburan langsung FDI dan DDI bagi merangsang pembangunan yang lestari dan seimbang di seluruh negara.

Beliau berkata, kewujudan ekosistem perindustrian domestik secara lebih strategik amat penting bukan sahaja bagi menjana pertumbuhan KDNK yang mampan, tetapi juga bagi memperkasakan ekosistem ekonomi domestik dalam menghadapi pelbagai cabaran global, termasuk ancaman perubahan iklim, serta pelbagai cabaran pasca-pandemik dan geopolitik yang menyebabkan rantaian bekalan terganggu, harga bahan mentah meningkat dan kadar inflasi global yang tinggi.

“Pelaburan DDI yang strategik juga berpotensi untuk menarik lebih FDI kerana pelabur asing sentiasa menganggap DDI sebagai penanda aras bagi keyakinan dan komitmen pelabur domestik terhadap dasar-dasar
kerajaan bagi memantapkan lanskap pelaburan dan perniagaan negara.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan peningkatan DDI, namun kerajaan berpendapat bahawa usaha meningkatkan DDI perlu lebih menyeluruh. Sehubungan itu, mesyuarat MPN hari ini juga menekankan salah satu mesej Ekonomi Madani yang diumumkan pada 27 Julai 2023 iaitu mengenai betapa pentingnya kerjasama dan pembabitan strategik oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memperkasakan DDI,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar berkata, secara keseluruhannya, GLIC hari ini mengurus aset pelaburan bernilai lebih RM1.7 trilion, dan memainkan peranan yang penting bukan sahaja bagi memacu pembangunan infrastruktur kritikal, dan membolehkan pertumbuhan pelbagai sektor ekonomi baharu, tetapi juga bagi membantu menarik pelabur asing ke Malaysia.

“MPN mengakui bahawa DDI dan FDI mempunyai kebergantungan antara satu sama lain dan saling melengkapi. FDI penting bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi manakala DDI penting bagi memperkukuhkan ekonomi negara.

“Walaupun beberapa kajian telah mengesahkan faedah FDI kepada negara, pemerkasaan pelaburan domestik berkualiti tinggi adalah sama penting dan mesti terus dipermudah dalam memacu ekonomi negara sekaligus mengembangkan struktur rantaian industri, terutamanya pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” ujarnya.

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat tersebut juga memutuskan bahawa Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan di antara MITI dan kesemua Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) akan diaktifkan semula.

Show More

Related Articles

Back to top button