Jenayah & Mahkamah

Belasah kawan sebab ‘awek’, tujuh pelajar ditahan polis

JOHOR BAHRU – Tujuh remaja termasuk seorang warga asing ditahan polis berhubung kes pukul pelajar sekolah di Taman Bistari Indah, di sini.

Ketua Polis Johor Selatan, Raub Selamat berkata, kesemua suspek berusia 14 hingga 17 tahun yang masih bersekolah itu ditahan di enam lokasi berbeza antara pukul 5.30 petang hingga 9.34 malam.

Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima laporan daripada seorang remaja berusia 15 tahun dipercayai mangsa pukul kira-kira 4.09 petang, hari yang sama.

“Pengadu dipercayai dipukul, ditendang, dipijak, disepak dan ditumbuk oleh suspek sehingga mengakibatkan kecederaan dan lebam di bahagian lengan kiri dan kanan, bengkak di bahagian peha kanan dan mengalami kesakitan di keseluruhan tubuh badan.

“Hasil siasatan kejadian berlaku pada 3 petang (9 Ogos) dan dipercayai punca kejadian adalah rasa tidak puas hati oleh suspek utama yang berusia 15 tahun, setelah mangsa berkawan dengan kekasihnya,” katanya dalam kenyataan.

Raub berkata hasil serbuan pihaknya turut merampas sehelai jersi berwarna biru, tiga helai t-shirt lengan panjang biru gelap, sehelai t-shirt lengan pendek warna hitam dan telefon bimbit.

“Enam suspek bersekolah di sekolah yang sama kecuali suspek utama dan mereka ini akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru untuk ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya,” katanya.

Semalam, tular video berdurasi 59 saat di Facebook menunjukkan seorang pelajar lelaki dipukul sekumpulan remaja.

Show More

Related Articles

Back to top button