Muhyiddin desak Anwar, Zahid Hamidi letak jawatan
KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri susulan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri semalam.
Bekas Perdana Menteri ke 8 itu berkata, kekalahan teruk gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang diterajui dua pemimpin itu membuktikan penolakan besar-besar rakyat.
“Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap politik rapuh dan perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi
“Maka benarlah pilihan raya kali ini adalah referandum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH-BN,” katanya dalam ucapan selepas keputusan PRN malam tadi.
Justeru ahli Parlimen Pagoh itu mahu Anwar dan Ahmad Zahid perlu mengambil tanggungjawab moral dengan melepaskan jawatan dipegang mereka.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, PN berjaya membuktikan gabungan partinya kini muncul sebagai wadah parti politik orang Melayu terbesar.
Tegas beliau lagi, UMNO yang dipimpin oleh Ahmad Zahid juga sudah menjadi tidak relevan apabila hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi dipertandingkan.
Di Selangor katanya, PN berjaya ‘menafikan’ kemenangan dua pertiga PH-BN walaupun dianggap sebagai kubu kuat mereka apabila memenangi 22 daripada 56 kerusi dipertandingkan.
Manakala di Pulau Pinang, semua kerusi orang Melayu di DUN Permatang Pauh juga berjaya dikuasai PN sepenuhnya.
“Saya percaya sekiranya peratusan mengundi lebih tinggi diperolehi maka PN akan berjaya merampas Selangor.
“Ini bermakna UMNO kalah teruk iaitu 82 peratus daripada keseluruhan jumlah kerusi dipertandingkan,” katanya.