Berita Semasa

PDRM perketat kawalan di lokasi strategik sempena PRN

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan kawalan keselamatan di lokasi-lokasi strategik yang berkemungkinan menjadi tumpuan pihak tertentu sebaik keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri diumumkan, Sabtu ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara lokasi terbabit adalah Istana Negeri dan pejabat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, keselamatan di sesebuah Istana itu adalah amat penting kerana tidak mahu berlaku apa-apa gangguan terhadap Istana pada tengah-tengah malam sebaik keputusan diumumkan.

“PDRM akan memastikan peralihan kepimpinan sesebuah kerajaan negeri berlangsung dan keadaan aman berdasarkan perlembagaan,” katanya dalam satu sidang akhbar khas di Bukit Aman, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, pelaksanaan penugasan bagi PRN di enam buah negeri yang terlibat, sudah bermula sejak sebelum penamaan calon, hari penamaan calon dan semasa tempoh berkempen yang dijadualkan berakhir tengah malam esok.

“Apabila dibubarkan sahaja Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan enam negeri dalam PRN ini, kita (polis) sudah memulakan tugas menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

“Seramai 36,492 pegawai dan anggota PDRM sudah bersedia mengawasi perjalanan PRN dengan dibantu Polis Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Am (PGA),” jelasnya.

Beliau turut memberikan jaminan kepada semua pihak termasuk calon-calon PRN, penyokong dan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka tanpa rasa takut atau dihalang oleh mana-mana pihak.

“Bagi saya sebagai KPN, timbalan saya, Datuk Seri Ayob Khan serta Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah di enam negeri PRN ini, kami bersedia dan anda boleh keluar mengundi dengan selamat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button