Politik

PH+BN lancar manifesto Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan

SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto bersama, Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dengan berteraskan kepada lima tekad bagi mencapai negeri maju, ekonomi mampan dan rakyat sejahtera.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini mencakupi keperluan dan kebajikan masyarakat berbilang kaum di Negeri Sembilan tanpa mengambil kira batasan agama, kaum, umur, jantina dan status kehidupan.

“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan berteraskan kepada Lima Tekad bagi mencapai negeri maju, ekonomi mampan dan rakyat sejahtera.

“Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah satu aku janji yang inklusif dan menjadi satu komitmen pemerintahan
Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan untuk menjana peluang dan memberi nikmat kepada rakyat dalam memacu pembangunan negeri dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, Lima Tekad dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan ini adalah untuk Membangun Negeri Sembilan moden 2023-2033, Mendaya Upaya ekonomi rakyat dalam meningkatkan ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat, Pembangunan mesra rakyat: Melestarikan pembangunan seimbang luar bandar dan bandar.

“Selain itu, memberi tumpuan kepada kebajikan, keperluan dan permasalahan rakyat serta pentadbiran berintegriti dan memperkasa penyampaian perkhidmatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, gabungan itu turut menawarkan 70 Inisiatif Untuk Rakyat di bawah 10 Teras Utama iaitu Ekonomi, Pelaburan dan Infrastruktur; Pendidikan dan Modal Insan; Kesejahteraan Rakyat; Belia, Wanita, Keluarga, Sukan dan Keusahawanan; Tanah dan Perumahan; Pertanian; Pelancongan dan Alam Sekitar; Agama, Adat Budaya dan Masyarakat Orang Asli; Perkhidmatan Awam serta FELDA.

“Selain 70 inisiatif di dalam 10 Teras Utama ini, BN dan PH Negeri Sembilan juga menawarkan Skim Sejahtera Rakyat yang akan diuruskan dan disampaikan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri.

“Skim Sejahtera rakyat ini adalah mencakupi kehidupan rakyat sejak daripada awal kelahiran sehinggalah menjejak ke usia warga emas,” ujarnya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button