PM berhasrat wujudkan sekolah khas untuk golongan paling miskin
KEPALA BATAS – Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan berhasrat memperkenalkan konsep jenis sekolah baharu yang menyasarkan anak kepada golongan paling miskin di negara ini.
Perdana Menteri berkata, cadangan penubuhan sekolah itu adalah bagi membolehkan golongan berkenaan mendapat akses pendidikan walaupun keputusan peperiksaan mereka kurang memberangsangkan.
Justeru, Anwar berkata, pelaksanaan sekolah berkenaan akan berpandukan kerangka sekolah menengah sains serta berasrama penuh yang memfokuskan kepada golongan terbabit.
“Ini akan memberi makna manusiawi dan keadilan kepada mereka.
“Akses dan peluang secara saksama bagi membolehkan tiada mana-mana golongan yang tercicir. Kita ada pendemokrasian mutu pendidikan bagi membolehkan semua berhak (mendapatkan pendidikan).
“Nama sahaja berhak tetapi sekolah di Manik Urai, Kelantan; Kapit, Sarawak; Pulau Pinang dan Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak tetap ada kesenjangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Anwar: Bicara Pendidikan Madani yang turut dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di sini, hari ini.
Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri mengakui, pengundi muda dalam kelompok usia antara 18 hingga 25 tahun memiliki pengaruh besar bagi menentukan corak politik negara.
Sehubungan itu, katanya, kelompok berkenaan wajar membuat penilaian sebaiknya dalam menentukan bagaimana mereka mahu mencorakkan masa depan negara menerusi kuasa undi dimiliki mereka.
Beliau berkata dari aspek pentadbiran kerajaan mengakui akan terus berusaha membawa lebih banyak pelaburan asing ke dalam negara, seterusnya memastikan generasi muda mendapat peluang pekerjaan.
“Pilihan ini sama ada pengundi muda mahu menentukan negara berbilang kaum yang memiliki dasar ekonomi jelas serta mampu menarik pelaburan, sekali gus menjamin masa hadapan mereka atau mahukan kerajaan seperti di negeri tertentu yang tiada pengalaman serta menakut-nakutkan pelabur.
“Sebab ini, saya harap anak muda membuat keputusan bijak dan pastikan masa depan anda terjamin. Anda yang akan menentukan masa depan masing-masing,” katanya.