Berita Semasa

PRN: PN umum Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion

SHAH ALAM – Perikatan Nasional (PN) mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor membabitkan nilai lebih RM2 bilion sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pakej rangsangan bertemakan ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’ itu merangkumi tujuh tunjang utama, 25 pendekatan dan 112 tawaran.

Muhyiddin berkata, tujuh tunjang itu adalah Semarak Masyarakat Harmoni, Sejahterakan Kehidupan Rakyat, Junjung Prinsip Tadbir Urus dan Politik Yang Bersih, Ekonomi Masa Hadapan Yang Utuh, Wanita Teras Masyarakat dan Ekonomi Negeri, serta Alam Lestari dan Infrastruktur Bestari.

“Ini sebahagian besarnya disebabkan oleh ketidakcekapan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri sedia ada untuk menawarkan suatu penyelesaian yang berkesan dan menyeluruh kepada masalah dihadapi rakyat.

“Saya turun ke bawah dan mendapati ramai mengeluh kenaikan harga barang, perniagaan merosot, pendapatan tidak bertambah di samping tiadanya bantuan kerajaan yang benar-benar dapat membantu meringankan beban ditanggung oleh rakyat dan perniagaan.

“Apabila saya bertemu orang ramai di lapangan, mereka bukan sekadar kecewa, tetapi marah terhadap kerajaan hari ini. Malangnya, selepas lapan bulan mentadbir negara, kerajaan campuran Pakatan Haraan (PH) dan Barisan Nasional (BN) seolah-olah tidak tahu bagaimana hendak menguruskan negara ini dengan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Tawaran PN Negeri Selangor di Doubletree Hilton di Seksyen 7 di sini hari ini.

Yang turut hadir Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin; Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi dan Pengerusi Perhubungan GERAKAN Selangor, Datuk Henry Teoh Kien Hong.

Muhyiddin berkata, pakej berkenaan dihasilkan sebagai bukti keprihatinan PN yang sedar masalah utama dihadapi rakyat di Selangor pada masa ini adalah tekanan kos sara hidup dan keadaan ekonomi negeri yang suram.

Pada masa sama, katanya, inisiatif itu dilakukan demi membantu rakyat di Selangor meringankan bebanan kos sara hidup serta merancakkan perniagaan dan ekonomi negeri.

Show More

Related Articles

Back to top button