Politik

PRN: Guna logo BN hanya untuk kaburi mata pengundi Melayu – Zulfafperi

TANJONG KARANG – Langkah Barisan Nasional (BN) menggunakan logo dacing adalah bagi mengaburi mata pengundi Melayu, kata Ahli Parlimen Tanjong Karang Datuk Dr Zulkafperi Hanapi.

Menurut beliau, perkara itu jelas menerusi pakatan yang dibuat oleh BN bersama Pakatan Harapan (PH) dan DAP menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

“Kalau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong mereka menggunakan bendera Barisan Nasional, tujuannya tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menipu orang Melayu dan pengundi Melayu bahawa undilah BN dan tidak ada kena mengena dengan DAP dan PH tapi hakikatnya mereka sama.

“Kita berasa sedih seolah-olah (mereka beranggapan) pengundi di Sungai Burong ini masih ketinggalan zaman tidak terdedah kepada media sosial, jadi inilah anggapan mereka. Mereka terlalu terkebelakang,”katanya kepada Malaysia Tribune selepas ceramah ‘Kabare’ Sungai Burong di sini, malam tadi.

Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan pendakwah selebriti, Mohd Zamri Mohd Zainuldin bagi DUN Sungai Burong yang bakal berdepan calon BN iaitu Mohamad Khir Ramli.

Dalam pada itu, anak bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar, Nurul Syazwani pula akan bertembung dengan calon PH, Mohd Yahya Sahri di DUN Permatang.

Ditanya mengenai peluang kedua-dua calonya itu, Dr Zulkafperi berkata, beliau berkeyakinan penuh mereka akan berjaya menawan kerusi  tersebut.

“Saya berkeyakinan calon saya di Sungai Burong, Dr Zamri untuk menang adalah tinggi. Saya yakin beliau akan melepasi tahap 60 ke 70 peratus akan menang.

“Begitu juga untuk calon DUN Permatang, Nurul, Insya-Allah akan boleh menang. Pada pemikiran saya beliau juga menjangkaui 60 ke 70 peratus untuk menang,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button