KP Selangor sahkan anggota ditahan bantu siasatan kes pecah masuk stor eksibit IPD Sepang
SERDANG – Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan penahanan seorang anggota berpangkat sarjan bagi membantu siasatan kes pecah masuk dan curi beberapa barang kes di stor eksibit Ibu Pejabat Polis (IPD) Sepang pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, anggota berusia dalam lingkungan 40-an itu ditahan semalam.
“Hasil siasatan dilakukan mendapati barangan yang dicuri itu adalah barang kes yang sudah selesai siasatan dan menunggu proses pelupusan.
“Permohonan reman terhadap suspek yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Sepang itu akan dibuat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perbarisan Ulang Tahun Polis Bantuan ke-7 Sime Darby Property Berhad di Padang Kawad Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.
Ketika ini, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk bagi mengenal pasti motif kejadian terbabit.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang individu diburu polis selepas dipercayai memecah masuk dan mencuri beberapa barang kes di stor eksibit di IPD itu.
Antara yang dilaporkan hilang adalah beberapa barangan kes yang sedang menunggu untuk dilupuskan membabitkan siasatan sejak 2014.