BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia dipercayai akibat didera lima rakan kakaknya dalam satu kejadian di sebuah rumah di sini, Jumaat lalu.
Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah membawa mangsa ke klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.
Bertindak atas laporan, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan terdiri daripada dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara jam 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu kerana disyaki terlibat dalam kejadian tersebut.
Hasil siasatan, pihak polis berjaya merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa dan semua suspek telah direman sehingga 31 Disember.
Difahamkan, mangsa yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) sejak Jumaat disahkan sudah meninggal dunia semalam.
Siasatan lanjut mendapati mangsa dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke penjara akibat kesalahan dadah. Kakak mangsa kemudian menyerahkan adiknya itu kepada rakannya untuk dijaga.
Kes ini masih disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis bagaimanapun telah mengklasifikasikan semula kes ini akibat kematian mangsa iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.