Politik

Selangor hilang segala potensi semasa pentadbiran Amirudin

GOMBAK – Rakyat negeri Selangor kehilangan banyak potensi dan manfaat selepas pentadbiran negeri diambil alih oleh Menteri Besar, Amirudin Shari yang begitu ‘berkira’ dalam perbelanjaan untuk rakyat.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham berkata, pelbagai inisiatif khususnya yang berbentuk komuniti dimansuh dan dikurangkan berbanding pada zaman pemerintahan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, semasa zaman pentadbiran Azmin, kerajaan memperuntukkan kira-kira RM3.45 bilion manakala pada zaman Amiruddin peruntukan itu dikurangkan kepada RM2.2 bilion sahaja.

“Negeri Selangor ini sangat berpotensi dan pernah mencapai era kegemilangannya pada era 2017. Ketika itu Amiruddin hanya seorang exco kerajaan negeri.

“YB Azmin membelanjakan peruntukan terbesar dalam sejarah negeri itu iaitu RM3.45 bilion. Saya lihat begitu banyak manfaat diberikan kepada rakyat misalnya melalui inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

“Tetapi apabila Amiruddin ambil alih, beliau turunkan peruntukan kepada RM2.2 bilion . Penurunan lebih daripada RM1.2 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pengamal Media dan Influencer Media Sosial di Pusat Khidmat Rakyat Dun Gombak Setia, di sini, hari ini.

Hilman berkata, antara manfaat yang dikurangkan adalah Skim Mesra Usia Emas untuk golongan warga emas dan OKU yang dikurangkan dan tidak lagi diberikan secara one off.

“Dahulu kerajaan beri RM2,500, lepas itu dikurangkan menjadi RM500 dan kemudian dikurangkan lagi mungkin dalam RM100. Bantuan itu sepatutnya diberikan secara sekaligus untuk manfaat rakyat.

“Begitu juga dengan program Peduli Sihat untuk 400,000 yang kemudian dikurangkan kepada hanya 10 peratus daripada jumlah itu,”katanya.

Selain itu, bekas wakil rakyat PKR itu berkata, masih terdapat banyak masalah setempat yang tidak diselesaikan oleh kerajaan negeri seperti kutipan sampah dan masalah air.

“Jadi saya nak tanya apa guna jadi negeri kaya jika masalah sampah tidak diuruskan dengan baik. Kita tahu ada banyak isu sampah tidak dikutip oleh KDEB.

“Dia (Amirudin) boleh sahaja arahkan KDEB umum kutipan sehari 7 kali pun tapi realitinya rakyat masih dibebani masalah ini.

“Begitu juga dengan masalah paip air yang kerap bocor dan pecah. Boleh dikatakan setiap bulan ada ‘festival air Gombak’.

“Semua masalah ini tidak selesai pun kerana Amirudin tidak berbelanja.

“Tahun pertama jadi Menteri Besar, dia (Amirudin) belanja RM2.2 bilion, tahun kedua RM2.2 bilion, sebelum Covid-19 RM2.2 bilion begitu juga selepas Covid-19 seolah-olah tidak peka kepada ekonomi raktyat ,” katanya.

Justeru katanya, segala masalah itu akan membuatkan rakyat membuat pilihan yang tepat dalam pemilihan wakil rakyat bagi pilihan raya kali ini.

Bagi kerusi DUN Gombak Setia, Hilman akan berdepan dengan Pengerusi BN Selangor Datuk Megat Zulkarnain Omardin (PH-BN) dan Mohamed Salim Mohamed Ali (Bebas).

Pada PRU-14, kerusi Dun itu dimenangi Muhammad Hilman yang ketika itu mewakili PKR dengan majoriti 12,399 undi menewaskan Hasbullah Ridzwan (Pas) dan Megat Zulkarnain (BN).

Show More

Related Articles

Back to top button