Berita Semasa

Siasatan kecurian REE, SPRM akan panggil sesiapa sahaja termasuk MB Kedah jika perlu

KUALA NERUS – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil sesiapa sahaja jika perlu, termasuk Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi melengkapkan siasatan kecurian unsur nadir bumi (REE) di negeri tersebut.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, setakat ini pihaknya sudah memanggil 12 orang saksi berhubung kes rasuah dan salah guna kuasa dalam isu berkenaan.

“Saya tidak nafikan, beliau (Muhammad Sanusi) juga akan dipanggil kerana surat berhubung dengan perlombongan yang tular itu ditandatangani oleh beliau.

“Antara yang kita akan tanya perkara itulah, sebab surat itu tular. Kalau betul, betullah dan jika tidak betul beliau kena nyatakan.

“Bila akan memanggil Muhammad Sanusi belum tahu lagi kerana saya serahkan kepada pegawai penyiasat dan mereka akan tentukan bila akan dipanggil,” katanya selepas Program Cakna Rasuah SPRM bersama Media Zon Timur di sebuah hotel, di sini hari ini.

Katanya, SPRM juga sedang mengesan beberapa individu luar dari China dan pegawai penyiasat sedang mengesan individu terlibat.

“Saksi yang kita sedang kesan ini dikatakan membuat pelaburan kepada perlombongan REE ini dan pegawai penyiasat sedang mengesan saksi-saksi ini.

“Malah, sesiapa saja yang kita rasakan perlu panggil untuk dirakam percakapan, kita akan panggil tidak kira siapa, cuma cepat atau lambat saja,” katanya lagi.

Semalam, SPRM menahan seorang pegawai kanan Perbadanan Menteri Besar (MBI) Kedah dan seorang pengarah wanita sebuah syarikat bagi membantu siasatan kes membabitkan nilai rasuah lebih RM13 juta.

Suspek masing-masing berusia 40 dan 63 tahun itu ditahan lewat petang semalam di Alor Setar, Kedah dan ibu negara direman tiga hari hingga 21 Julai ini.

Show More

Related Articles

Back to top button