Berita Semasa

Dr Zaliha minta tunggu tindakan lanjut Jabatan Peguam Negara

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM)     akan menyerahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) berhubung kes badan bukan kerajaan (NGO) mengemukakan semakan kehakiman mencabar keputusan mengeluarkan nikotin daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, isu berkenaan tidak boleh dibahaskan di luar mahkamah pada waktu ini.

Justeru, beliau akan menunggu untuk proses selanjutnya.

“Saya sudah menjawab hal ini, maksudnya sekarang sudah masuk kepada judicial review (semakan kehakiman), jadi kita tidak akan sebut lebih-lebih maknanya (tunggu) daripada AGC dan sebagainya.

“Sebab sudah masuk kes mahkamah, jadi setakat ini kita tunggu perjalanan dan proses seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat KKM di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai pendirian KKM berhubung semakan kehakiman tersebut.

Terdahulu, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MTCT), Pertubuhan Green Lung Malaysia (GLMA) dan persatuan hak kanak-kanak, Voice Of The Children (VOC) memfailkan permohonan terbabit melalui firma guaman, Kanesalingam & CO.

NGO terbabit menamakan Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM akan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.

“Akhirnya apa yang kita harapkan, RUU (Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023) yang kita sudah bentangkan kali pertama di Parlimen, insya-Allah akan dibawa pada sesi akan datang dan dapat diluluskan dan saya rasa itu terbaik untuk menyelesaikan isu terbabit,” ujarnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button