Berita Semasa

Ajaran SiHulk difatwa sesat, pengikut sudah lari ke luar negara

JOHOR BAHRU – Individu yang memuat naik rakaman video di media sosial dengan mengeluarkan kenyataan Allah adalah Nabi Muhammad SWT difahamkan sudah berada luar negara.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ini menyukarkan pihaknya mengambil tindakan atas pengikut ajaran SiHulk yang diasaskan oleh Suhaini Muhammad yang kini dipercayai berada di New Zealand.

Kata Mohd Fared, fatwa negeri Johor yang diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menyatakan bahawa ajaran Suhaini SiHulk merupakan ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat dan akhlak Islam.

“Antara penyelewengan ajaran ini ialah mendakwa Nabi Muhammad sebagai tuhan, Nabi Muhammad tidak mempunyai jantina, mentafsirkan sendiri sebuah hadis dengan menyatakan Nabi Muhammad tiada kemaluan dan sebagainya.

“Pengasas dan juga pengikut ajaran sesat SiHulk ini sebenarnya pengecut, mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian setelah tidak berada di dalam negara.

“Siasatan dibuat mendapati video-video itu dimuat naik dari New Zealand, bila di luar negara mereka di luar bidang kuasa Johor, sebab itu tidak boleh ambil tindakan secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Kompleks Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Fared, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan penguatkuasaan bagi membendung ajaran itu.

Katanya antara langkah awal yang boleh dibuat adalah untuk menyekat penyebaran video-video oleh golongan itu.

“Saya mohon untuk supaya masyarakat tidak mengikuti video dan rakaman berunsur ajaran sesat ini, jika ada terlihat rakaman yang pelik dan musykil boleh maklumkan kepada JAINJ.

“Saya perasan setiap profile picture di laman sosial pelaku video ini mempunyai ayat ‘ready to help’ beserta ‘dia simbol hati’, mohon jauhi laman sosial seperti ini bagi menjaga akidah,” katanya lagi.

Semalam tular dua buah video, yang salah satunya memaparkan lima sekeluarga termasuk ibu dan bapa membuat pengakuan ajaran sesat di Facebook, selain satu lagi video menunjukkan dua individu iaitu lelaki dan wanita yang membuat pengakuan bahawa Allah itu Nabi Muhammad.

Show More

Related Articles

Back to top button