Jenayah & Mahkamah

Sanusi tidak mengaku salah pertuduhan kedua

SELAYANG – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengaku tidak bersalah atas pertuduhan kedua yang dikenakan ke atasnya di Mahkamah Sesyen, di sini pagi tadi.

Sanusi,49, dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja.

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Sanusi dituduh melakukan kesalahan tersebut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara – Kampung Bendahara di Gombak dalam satu ceramah politik pada pukul 11 malam, 11 Julai lepas.

Ketika ceramah tersebut, Sanusi didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan Kerajaan Perpaduan.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut dilarang membuat sebarang kenyataan sehingga kes selesai.

Terdahulu, beliau mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nor Rajiah Mat Zin atas pertuduhan membuat kenyataan berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pelantikan Menteri Besar Selangor dalam ceramah sama.

Kedua-dua mahkamah masing-masing menetapkan jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan 4 Oktober untuk sebutan semula kes.

Show More

Related Articles

Back to top button