Team Haq wakili Malaysia ke Phygital Games 2023 di Rusia
KUALA LUMPUR – Juara Liga Profesional Mobile Legends MY musim ke-10, Team Haq Esport Club akan mewakili Malaysia ke kejohanan Phygital Games 2023 di Kazan, Rusia dari 17 hingga 24 Julai ini.
Pasukan tersebut mendapat jemputan khas daripada penganjur yang membuat pemilihan berdasarkan prestasi pasukan itu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Selain Team Haq, tujuh lagi pasukan e-sukan dari negara lain akan berentap termasuk dari Filipina, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam, serta Kemboja.
Pengasas Team Haq Esports Club, Aimanhaq Zaharudin dalam satu kenyataan semalam melahirkan rasa syukur kerana pasukannya terpilih menyertai pertandingan di peringkat dunia.
Jelasnya, penyertaan di Rusia itu juga merupakan persediaan bagi pasukan Team Haq menghadapi Regular Season MPL MY Musim ke-12.
“Ini adalah kejohanan pertama kami sertai di benua Eropah. Sehubungan itu, sudah pasti ia akan memberikan pengalaman berbeza buat kami.
“Team Haq bertekad untuk memberikan persembahan terbaik dan akan berusaha sedaya upaya merebut gelaran juara di Rusia,” katanya.
Team Haq All Star akan dibarisi oleh pemain-pemain berwibawa iaitu Lolla, Minnn, Mannn, Nain serta Hitto.
Phygital Games 2023 dianjurkan di bawah kejohanan “Games of the Future” di Kazan akan menggunakan pendekatan “phygital” iaitu gabungan sukan fizikal dan digital.
Pusingan kelayakan kedua yang disertai Team Haq akan berlangsung pada 20 Julai depan dan menawarkan hadiah bernilai AS$50,000 (RM226,000).
Pasukan yang mendapat kedudukan teratas berpeluang menyertai pusingan akhir tahun hadapan dengan jumlah hadiah AS$3 juta (RM13.58 juta).