MCMC nafi campur tangan dalam kes penutupan akaun TikTok MB Kedah
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini menafikan pihaknya memadam akaun Tiktok milik Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
MCMC dalam kenyataannya berkata, pihaknya tidak menerima sebarang arahan atau melakukan campur tangan berhubung isu berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, setiap platform media sosial mempunyai garis panduan komuniti (Community Guidelines) tersendiri yang perlu dipatuhi selain tindakan terhadap aduan orang ramai.
“MCMC mengesahkan, tiada sebarang arahan diterima berhubung isu ini.
“Garis panduan komuniti sedemikian menetapkan jangkaan, mempromosikan keterangkuman dan mengurangkan kandungan memudaratkan atau yang berbaur jelik yang boleh mengganggu keharmonian dalam komuniti,” katanya.
Muhammad Sanusi hari ini mendakwa akaun TikTok beliau yang mempunyai jutaan pengikut dipadam oleh pihak tertentu bagi menyekat ‘suara’ beliau di pentas politik.
Sehubungan itu, Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu mahu pihak berkaitan mengaktifkan semula akaun media sosial miliknya itu bagi memudahkannya mendekati rakyat, khususnya menjawab pelbagai tuduhan dan fitnah terhadap dirinya.
“Depa padam TikTok saya. Tadi kita buka Tik Tok sudah tiada. Ye lah, kita baru sedang popular, itu medan kita nak jawab isu habis dah.
“Sebab itu kalau mereka betul anak jantan, pulangkan TikTok saya,” katanya dalam satu ceramah di Baling, malam tadi