Kertas siasatan terhadap MB Kedah sudah diserah kepada Jabatan Peguam Negara
GEORGE TOWN – Kertas siasatan berhubung kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor yang menyentuh sensitivi 3R (bangsa, agama dan raja) telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementeriannya (KDN) meletakkan kepercayaan penuh kepada pihak polis untuk mengambil tindakan terhadap Muhammad Sanusi yang telah melanggar batas sensitiviti Perlembagaan Negara.
Saifuddin berkata, ucapan menteri besar itu baru-baru ini telah tersasar jauh dan telah melanggar ‘garisan merah’ membabitkan isu 3R.
“Saya berpendapat ucapan beliau telah pun terlajak jauh dalam erti kata berlaku kalimat bernada penghinaan terhadap Sultan Selangor selain mempersendakan tubuh lawan politik.
“Mana boleh seorang pemimpin parti Islam, parti yang perjuangkan al-Quran, Sunnah boleh terbabas begitu sekali terhadap saudara seagamanya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Wakalah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini malam tadi.
Dalam pada itu, Saifuddin turut mempertikaikan sikap Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang berdiam diri dalam isu tersebut tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan tidak bersetuju terhadap perbuatan Muhammad Sanusi.
Sikap itu katanya jauh berbeza dengan sikap yang ditunjukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meminta individu yang mendoakan kemudaratan Abdul Hadi ketika beliau sakit segera meminta maaf.
“Setakat ini, hanya Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin buat teguran lembut terhadap Muhammad Sanusi.
“Presiden Pas diam seribu bahasa dan diam itu tanda merestui atau bersetuju, kalau tidak mesti Muhammad Sanusi sudah menerima teguran,” katanya.