Berita Semasa

84 pelajar terima bantuan KWAPM

JELEBU – Seramai 84 pelajar miskin menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) berjumlah RM100 setiap seorang dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Pasoh 4 (F), Simpang Pertang, di sini.

Penyampaian bantuan KWAPM bagi membantu pelajar dari golongan kurang kemampuan itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

“Bantuan ini diharapkan dapat membantu meringankan beban kewangan mereka dan meningkatkan taraf pendidikan pelajar untuk mereka mengubah nasib keluarga pada masa akan datang,” katanya pada majlis Penyampaian Bantuan KWAPM yang turut diadakan bersama majlis pecah tanah surau baharu.

Majlis pecah tanah untuk pembinaan sebuah surau untuk kegunaan kariah Pasoh 4 (F), Jelebu, Negeri Sembilan.

Majlis ini dilancarkan sebagai simbolik permulaan bagi membina surau baharu yang akan memberi manfaat kepada guru dan pelajar Sekolah Kebangsaan Pasoh 4 (F).

Pelaksanaan projek dijangka siap dibina dalam tempoh tiga bulan setelah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNNS).

Pembangunan surau baharu ini melibatkan keluasan 28′ x 18′ kaki persegi dan mampu memuatkan hampir 180 orang jemaah.

Pembinaan surau baharu ini juga adalah hasil sumbangan daripada YB. Datuk Seri Haji Jalaluddin Bin Haji Alias berjumlah RM 100,000 melalui dana Projek Mesra Rakyat.

Majlis ini turut dihadiri Noor Azmi Yusof, bekas ADUN Kawasan Pertang, Tuan Putra Hashim, Pegawai Pendidikan Daerah Jempol, ASP Rasidi Abd Rashid, wakil Ketua Polis Daerah Jelebu, Kamarul Azizi Dolah, Guru Besar SK Pasoh 4 (F) dan Wan Asmat Wan Ngah, Yang Dipertua PIBG SK Pasoh 4 (F). – SM

 

Show More

Related Articles

Back to top button